Ramadan datang lagi

Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.

Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya.

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.